Sunday, June 5, 2011

Bahasa Jiwa Bangsa

Bahasa Jiwa Bangsa
Seperti yang kita maklum bahawa bahasa merupakan alat komunikasi yang digunakan untuk berinteraksi atau berhubung sesama manusia, melalui bahasa juga dapat melahirkan pendapat, dan kehendak yang boleh difahami oleh sesebuah masyarakat yang menuturkannya. Identiti pula adalah ciri-ciri atau gambaran yang khusus sebagai pengenalan kepada sesuatu bangsa amnya. Sebenarnya identiti Bangsa Melayu Patani khususnya mempunyai tiga asas pokok iaitu pertama. Berbahasa Melayu,  kedua. Berkebudayaan Melayu dan ketiga. Beragama Islam.
Sejarah telah membuktikan bahawa bahasa Melayu itu telah menjadi bahasa lingua franca (bahasa perantaraan) bagi negara-negara di kepulauan Melayu dan orang-orang dagang seperti pedagang dan pengembara dari Eropah, Asia Tengah, China dan India. Pada amnya proses evolusi bahasa Melayu berkembang  selaras dengan taraf pembangunan yang dicapai oleh negara dan rakyat terhadap bahasanya sebagai bahasa perhubungan, bahasa pentadbiran, bahasa ilmuan, dan bahasa perdagangan. Sejarah juga telah menunjukkan bahawa bahasa Melayu telah berkembang dari status bahasa Melayu Purba menjadi bahasa Melayu Kuno dan seterusnya ke bahasa Melayu Moden. Setelah melalui beberapa proses dan pembaharuan daripada bahasa-bahasa sanskrit, arab, cina, belanda, portugis dan inggeris. Sehinggalah dijadikan sebagai bahasa rasmi negara bangsa rakyat Patani hingga sekarang. Walaupun usaha penjajah Thai untuk memper-Siamkan bahasa melayu Patani telah berkali-kali melalui polisi asimilasinya tidak berjaya. Rakyat melayu Patani sedar selagi bahasa melayu ada dipertuturkan atau diperjuangkan oleh bangsa itu sendiri nescaya usaha penjajah tidak akan berhasil.
 "Bahasa rasmi Negara Melayu Patani ialah Bahasa Melayu dan hendaklah dipertahankan dan didaulatkan”
Bahasa Melayu Patani adalah identiti negara bangsa kita walaupun bangsa dijajah tapi hati nurani kita tetap merdeka kerana bahasa Melayu lebih banyak menonjolkan unsur kebaikan dan faedah terhadap pertuturan, budi pekerti, cara hidup seharian yang tidak bertentangan dengan hukum syarak untuk dijadikan identiti hidup bermasyarakat dan bernegara.
Dalam era globalisasi ini bahasa Melayu Patani juga tidak terpisah dari menghadapi pelbagai bentuk cabaran terutama cabaran datangnya dari penjajah Thai musuh utama rakyat Patani itu dan pencemaran akibat dari ledakan teknologi yang drastik. Sesetengah masyarakat Melayu kononnya hidup di bandar berfikir negatif mereka merasakan bahasa Melayu merupakan bahasa yang tidak setaraf dengan bahasa dunia, mereka juga lebih gemar menuturkan bahasa penjajah atau bahasa asing kerana mereka malu hendak bercakap dengan bahasa Melayu walaupun semasa Melayu. Hal ini sedikit sebanyak boleh melemahkan semangat jati diri sendiri. Kesedaran jati diri perlu ada pada diri dan anak bangsa kita bahawa siapa kita , darimana kita dan setinggi manapun kita, kita tetap darah bangsa melayu Patani.
Media masa kini memainkan peranan penting dalam mengembangkan bahasa melayu bukan sahaja dikalangan bangsa Melayu saja tetapi juga kepada masyarakat luar agar mereka mengenali identiti kita sebagai bangsa Melayu dengan memperbanyakkan bahan cerita atau cetakan yang berunsurkan bahasa Melayu. Di samping itu kita juga harus mengamalkan penggunaan bahasa Melayu dalam apa juga perkara lebih-lebih lagi dalam keluarga agar kita dapat bersaing dan menaikkan taraf bahasa Melayu seiring dengan bahasa-bahasa didunia. Kerajaan melayu yang berdaulat didunia melayu hari ini hendaklah menjadi teras untuk menegakan bahasa melayu yang unggul sebagai bahasa pemerintah, bahasa perdagangan, bahasa akademik dan bahasa perundangan.
Akhir sekali, seperti kata pepatah yang berbunyi 'bahasa jiwa bangsa' jelas menunjukkan bahawa bahasa Melayu itu menjadi nadi penggerak yang amat penting untuk menzahirkan identiti diri kita sebagai rakyat sejati Negara Melayu Patani Darussalam dan adalah menjadi tanggungjawab kita seluruhnya untuk mempraktikkan bahasa ibunda kita supaya tidak akan pupus ditelan zaman. Seperti mana pesan datuk nenek kita, walaupun kita dijajah namun bahasa melayu Patani hendaklah dipertahankan, kerana bahasa itu menunjukan bangsa.
"Sesiapa pun tidak boleh menyangkal bahawa bahasa Melayu Patani itu adalah satu-satunya alat perpaduan kita yang hakiki. Tanpa bahasa Melayu  kita tentu tidak akan dikenali sebagai satu bangsa yang pernah merdeka dan berdaulat disuatu masa dahulu''

No comments:

Post a Comment